Saya telah mendapat pelbagai pengalaman pembelajaran sepanjang lapan
semester di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengalaman pertama saya ketika
menjejakkan kaki di UPSI adalah saya berkenalan dengan rakan yang terdiri
daripada agama yang berlainan. Saya perlu menghadiri kuliah dan menyiapkan
tugasan yang diberikan oleh pensyarah dalam masa yang ditetapkan. Selain itu,
saya juga dapat menimba pengalaman dengan mengikuti program atau aktiviti yang
dianjurkan oleh pihak kolej, Persatuan Himpunan Anak Kedah (HAK), Persatuan
Bahasa Melayu (PERBAYU) dan sebagainya. Apabila saya menyertai aktiviti yang
dianjurkan, saya dapat menambah pengetahuan dan mempelajari sesuatu yang baru.
Di samping itu, saya juga telah memperolehi anugerah dekan selama tujuh
semester berturut-turut. Seterusnya, pada semester tujuh yang lepas, saya telah
diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek Bahasa Melayu bagi tingkatan 1
dan 4. Saya telah memperolehi pelbagai pengalaman sepanjang menjalani latihan
mengajar selama 17 minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamid Khan, Tapah.
Segala pengalaman tersebut amat bermakna kepada saya sebagai seorang bakal
pendidik.
Pada pendapat saya, seorang guru yang profesional
bertanggungjawab untuk mencorak diri pelajar supaya menjadi insan yang berguna
kepada agamanya, ibu bapa, sekolah, masyarakat dan negara. Guru berperanan
penting supaya ilmu yang disampaikan dapat difahami oleh pelajarnya. Seorang
bakal guru perlulah sentiasa berfikiran kreatif dan kritis supaya dapat
menyampaikan pengajaran yang lebih menarik. Selain itu, bakal guru juga perlu
sentiasa bersedia dengan pelbagai masalah dan cabaran yang akan dihadapi kelak.
Guru adalah pendidik bangsa dan menjadi contoh model kepada pelajar. Oleh itu,
kelakuan, peribadi dan sikap guru tidak boleh dianggap sebagai satu perkara
yang remeh. Bakal guru juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan
dan nilai-nilai murni yang unggul bagi menjadikan diri mereka sebagai seorang
guru yang berwibawa. Selain itu, bakal guru juga perlulah sentiasa peka dengan
segala undang-undang yang ditetapkan
oleh Pihak Kementerian Pelajaran (KPM).
Terdapat beberapa perkara yang perlu pelajar perbaiki untuk masa depan
sebagai seorang guru yang profesional. Salah satunya ialah penerapan kemahiran
abad ke-21. Seorang guru yang profesional perlulah melaksanakan kurikulum
sekolah rendah dan sekolah menengah yang berasaskan abad ke-21 untuk melahirkan
modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek,
semangat ingin tahu yang tinggi, berprinsip, menguasai kemahiran berfikir,
berkomunikasi dan bekerja dalam kumpulan atau secara berpasukan. Selain itu,
pelajar juga perlu mengadaptasikan pelbagai inovasi dan perubahan dalam pendidikan
dan perlu menyesuaikan diri dengan inovasi dalam pendidikan. Hal ini adalah
bertujuan untuk mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih
kondusif dan menarik.
No comments:
Post a Comment