Friday 22 April 2016

Faktor-faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah

Guru perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah dan faktor-faktor yang boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat. Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah. Antaranya adalah faktor fizikal dan faktor psikososial.

1. Faktor Fizikal

Faktor pertama yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah adalah faktor fizikal. Faktor fizikal merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah. Syed Ismail & Ahmad Subki (2010) menyatakan bahawa guru bertanggungjawab menyediakan persekitaran fizikal bilik darjah yang efektif bagi membantu perkembangan murid dalam pembelajaran. Bilik darjah yang kondusif haruslah mempunyai peralatan asas seperti papan putih, papan kenyataan, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari, sudut bacaan, bahan bantu mengajar, peralatan sokongan dan ruang yang selesa. 

          Susunan peralatan dan kemudahan di dalam bilik darjah seperti meja dan kerusi, papan putih, sudut bacaan, papan kenyataan dan sebagainya akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid di dalam bilik darjah. Penyusunan meja dan kerusi murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid.

           Suasana bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai gambar, kata-kata motivasi dan alat bantu mengajar dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Cahaya yang mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka membolehkan pengedaran udara yang secukupnya. Persekitaran fizikal bilik darjah seperti keluasan ruang dan susun atur perabut perlu sesuai dengan kapasiti murid kerana bilangan murid yang melebihi kapasiti yang sepatutnya boleh menyebabkan suasana bilik darjah kurang selesa dan akhirnya menimbulkan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2011).

           Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dengan wujudnya suasana yang harmonis dan ceria. Murid juga akan lebih bersemangat untuk belajar kerana persekitaran fizikal yang selesa. Nilai bekerjasama dan semangat berdikari juga dapat dipupuk dalam kalangan murid.

Gambar 1: Keadaan fizikal bilik darjah Tingkatan 4 Harmoni

2. Faktor Psikososial

Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • Suasana selesa dan mesra.
  • Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal.
  • Perasaan diterima.
  • Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.
  • Suasana yang merangsang pembelajaran.
  • Mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan perkongsian idea.
  • Menggalakkan pembelajaran koperatif.
  • Peluang yang sama untuk semua pelajar.

Mok Soon Sang (2008) menyatakan bahawa guru perlulah bijak merangsang dan menggalakkan perkembangan sosial murid-muridnya dengan menunjukkan sikap yang adil semasa melaksanakan peraturan kelas.Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah.

(a) Pendekatan Pengajaran
Mengikut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Di dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermaksud cara mendekati sesuatu. Contohnya, objektif pembelajaran yang ditentukan untuk pengajaran dan pembelajaran, maka pendekatan adalah merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran yang diajarkan untuk mencapai objektif tersebut. 

Pendekatan pengajaran guru perlulah mengambil kira keperluan murid, perkembangan kognitif dan gaya pembelajaran murid yang berbeza. Antara keperluan murid termasuklah keperluan untuk memahami matlamat dan objektif pengajaran, melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, mengetahui hubungan antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan mereka, menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya atau guru.


Gambar 2: Pendekatan yang digunakan oleh guru

(b) Gaya Kepimpinan Guru
Gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan kepada suasana pembelajaran murid. Terdapat 3 jenis gaya kepimpinan guru iaitu:

(i) Gaya kepimpinan autokratik iaitu mengawal murid melalui ganjaran dan hukuman sehingga mewujudkan suasana yang tertekan dan tidak menarik serta tidak kondusif.


Gambar 3: Gaya kepimpinan autokratik

(ii) Gaya kepimpinan demokratik iaitu berkongsi tanggungjawab dengan murid dengan memberikan galakan bukannya desakan bagi menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan.


Gambar 4: Gaya kepimpinan demokratik


(iii) Gaya kepimpinan laissez-faire iaitu guru akan membuat kerja sendiri dan memberi kebebasan kepada murid untuk membuat kerja masing-masing.


Gambar 5: Gaya kepimpinan laissez-faire

(c) Komunikasi dan Corak Interaksi
Komunikasi berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah yang baik. Kemahiran dalam komunikasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

(i) Kemahiran menghantar maklumat.
Kemahiran menghantar maklumat termasuklah pertuturan yang jelas dengan penggunaan bahasa yang sesuai. Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru perlu sopan. Guru harus memandang ke arah murid, mewujudkan kontak mata apabila bercakap dengan murid tersebut. Apabila menegur murid, teguran harus berfokus kepada tindakan murid dan bukan kepada murid. Maklum balas yang diberi kepada murid mesti jelas dan spesifik.

(ii) Kemahiran menerima maklumat.
Kemahiran menerima maklumat atau kemahiran mendengar penting dalam menjalinkan hubungan dengan murid. Semasa mendengar, guru perlu sensitif dan peka terhadap perkara yang dikatakan oleh murid dan memberikan respon yang wajar. Guru mesti sabar dan memberikan respon seperti mengangguk kepala, mengerut dahi dan menjawab 'Aha' atau 'Oh' dan sebagainya. Apabila guru memberikan respon, murid akan terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan guru berminat dengan perkara yang hendak dikatakannya.

Komunikasi dua hala juga menggalakkan interaksi antara guru dan murid. Guru boleh merancang aktiviti untuk murid supaya dapat bekerja dalam kumpulan dan saling bertukar pendapat antara satu sama lain. Guru dapat mengetahui tahap interaksi sosial melalui pemerhatian dengan menggunakan teknik sosiometri. Teknik sosiometri bermaksud kaedah penelitian yang umumnya bertujuan untuk meneliti hubungan sosial dan psikologi antara individu di dalam sesuatu kelompok. Oleh itu, pengetahuan tahap sosial murid membantu guru membentuk kumpulan yang dapat bekerjasama.


Gambar 6: Murid menerima maklumat dan memberikan respon kepada guru

Kesimpulan

Kesimpulannya, kejayaan seseorang guru bukan hanya dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-mata tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid. Oleh itu, guru perlulah bijak memainkan peranannya dengan mewujudkan bilik darjah yang kondusif. Guru haruslah menitikberatkan faktor-faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah iaitu faktor fizikal dan psikososial untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sehingga ke peringkat optimum.

Rujukan

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2014). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mok Soon Sang. (2008). Ilmu Pendidikan untuk KPLI. (Sek. Rendah: Komponen 1 & 2) Psikologi Pendidikan & Pedagogi. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang. (2011). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku (3rd ed.). Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. 

Syed Ismail Syed Mustafa dan Ahmad Subki Maskon. (2010). Budaya dan Pembelajaran. Ipoh: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.